Friday, November 5, 2010

MUSTAFFA KAMIL AYUB - Tangguh pemilihan PKR, gantung JPP



PETALING JAYA – Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rak:yat (PKR), Mustaffa Kamil Ayub memohon supaya status Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) digantung dan proses pemilihan parti ditangguhkan kerana ketelusan dan integriti badan bebas yang mengawal selia hal ehwal pemilihan parti itu diragui. Menurutnya, status JPP perlu digantung dan proses pemilihan parti ditanggung sehingga kewibawaan badan bebas itu diyakini sepenuhnya untuk memastikan kelangsungan perjuangan parti yang berlandaskan keadilan untuk semua. Oleh itu, untuk tujuan tersebut, Mustaffa akan menghantar memorandum cadangan kepada Presiden, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi JPP, Dr Molly Cheah. “Memorandum akan dihantar dalam masa terdekat kerana kami sedang menyiapkan beberapa dokumen tambahan. “Kami ingin menegaskan, bentuk tindakan yang dilakukan ini adalah kerana kami meletakkan kepentingan parti di atas dan supaya ia tidak akan menimbulkan pelbagai masalah dalam proses Pemilihan Parti 2010,” katanya. Beliau yang juga calon Naib Presiden berkata, ketelusan terhadap JPP terus dipertikai pelbagai pihak dengan pelbagai insiden salah laku di mana terdapat kaedah pengendalian tidak bersikap profesional dan bersifat berat sebelah, termasuk penjumlahan undi yang diumumkan tidak konsisten, terutama kedudukan jawatan Timbalan Presiden. “Majoriti calon di peringkat cabang dan pemilihan pusat mempertikai urus kendali yang dijalankan JPP, namun ramai di kalangan mereka mengambil sikap berdiam diri. “Jika tidak ada tindakan proaktif daripada JPP, kami khuatir akan menimbulkan masalah besar terutamanya melibatkan pemilihan bagi cabang-cabang di Selangor yang dianggarkan minimum satu cabang ada 1,000 ahli,” katanya. Mustaffa berkata, sebelum ini, bantahan pernah dikemukakan kepada JPP berikutan berlakunya masalah ketidakseragaman melaksanakan syarat dan peraturan pertandingan, namun sehingga kini tiada apa-apa tindakan diambil.

No comments:

Post a Comment