Sunday, December 6, 2009

NIK AZIZI ! NIK AZIZ ! NIK AZIZ !

KUALA LUMPUR, Dis 6 — Sehari selepas mendoakan pemimpin kerajaan Barisan Naisonal (BN) "pecah perut" berhubung isu royalti minyak, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berhadapan dengan siri isu kontroversi, malam tadi menyerang Umno dengan mendakwa parti itu seolah-olah terdesak untuk menggulingkan kepimpinan PAS di Kelantan.

Mursyidul Am PAS itu menegaskan Umno seolah-olah parti yang sedang lemas sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi survival.

"Ceritanya ialah Umno sedang lemas, sanggup mengatakan apa saja termasuk membuat tuduhan terhadap saya.

"Mereka tahu bahawa mereka lemah. Terengganu berpecah, ada Umno A, ada Umno B.

"Perak lagi teruk, mereka bergaduh untuk jubah speaker," kata Menteri Besar Kelantan ini di hadapan kira-kira 1,000 pengikutnya di Taman Melewar, Gombak dekat sini.

Tambah beliau, dua rakan Umno dalam BN juga berhadapan dengan masalah dalaman masing-masing.

"Jadi mereka tidak ada apa-apa melainkan kecuali membuat tuduhan terhadap saya," kata Menteri Besar Kelantan ini yang sejak tahun lalu menentang sebarang bentuk kerjasama dengan Umno-BN, yang didukung oleh segelintir pemimpin PAS.

"Mereka seperti datuk yang berhadapan dengan cucu yang menangis. Untuk menghentikan seorang kanak-kanak daripada berhenti menangis, mereka akan mengatakan burung! burung! burung! Nik Aziz! Nik Aziz! Nik Aziz! Mereka ingat kita ini bodoh macam mereka," katanya.

Nik Aziz yang memimpin Kelantan sejak 1990 menambah Umno seharusnya berhenti daripada bermimpi untuk menawan negeri itu.

"Apa yang mereka hendak lakukan di Kelantan? Mereka hendak mewujudkan satu agama? Mereka hendak mewujudkan satu agama kerana mereka tidak ada Islam.

"Mudah untuk membina masjid tetapi agama dan masjid ada dua perkara yang berbeza," katanya.

Nik Aziz menambah Umno berpura-pura mahu membina masjid seolah-olah mereka juga bersolat.

Pesuruhjaya PAS Kelantan itu menekankan bahawa Islam adalah kunci untuk mencapai konsep 1 Malaysia.

Mereka telah mencuba Islam Hadhari tetapi gagal dan kini datang dengan konsep 1 Malaysia, kata beliau lagi.

Ketika sedang berucap Nik Aziz berhenti sekejap sehingga mencetuskan suasana cemas di kalangan hadirin.

"Saya penat," katanya ringkas.

Nik Aziz meneruskan ucapannya dengan menjelaskan bahawa beliau masih berdoa agar Tuhan membuka hati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu berkaitan dengan royalti minyak.

Bulan lalu Najib mengumumkan kerajaan akan membayar wang ihsan kepada Kelantan melalui Petronas bermula tahun depan sebagai menggantikan tuntutan royalti minyak yang dimahukan kerajaan negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri Kelantan tidak berhak menerima wang royalti minyak di perairannya kerana ia terletak di kawasan bertindih dan wang itu akan disalurkan dalam bentuk pembangunan melalui kerjasama dengan kerajaan negeri.

Kira-kira dua minggu lalu Nik Aziz mahu orang ramai berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Najib dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan.