Tuesday, July 7, 2009

288 AHLI MAJLIS PBT DILANTIK BERKUATKUASA 16 JULAI INI

SHAH ALAM, 6 Julai - Teka-teki mengenai senarai ahli majlis yang akan menggangotai 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) terjawab, apabila kerajaan negeri hari ini mengumumkan pelantikan seramai 288 orang, berkuatkuasa 16 Julai ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, daripada jumlah itu, 80 peratus ahli majlis terdahulu dikekalkan, manakala selebihnya dilantik bagi menggantikan mereka yang meletak jawatan, gagal menunjukkan prestasi cemerlang serta bermastautin di luar kawasan.
“Daripada senarai baru yang kita umumkan hari ini, kita cuba nak seimbangkan ahli majlis termasuklah dari segi jantina dan kaum,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya, petang tadi.
Menurutnya, 25 peratus daripada ahli majlis yang dilantik itu merupakan ahli profesional dan wakil badan bukan kerajaan (NGO), manakala selebihnya adalah wakil daripada parti PKR, DAP dan PAS.
Bagaimanapun, Ronnie berkata jumlah itu tidak termasuk ahli majlis yang dilantik secara otomatik iaitu Datuk Bandar, Yang Dipertua dan Orang Besar Daerah.
Mereka yang dilantik akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua (YDP) Majlis masing-masing, dalam masa terdekat.
Pada sidang media itu, Ronnie turut mengumumkan senarai nama 66 orang ahli majlis yang dilantik.
Dalam pada itu, beliau berkata semua ahli majlis yang dilantik akan mengikuti kursus di Institut Latihan Pihak Berkuasa Tempatan (ILPBT) di Morib.

No comments:

Post a Comment